Friday, 3 August 2012

Kisah Doa 17 Ramadhan



17 Ramadhan bukan tarikh biasa. Kalau anda hanya terbayang Nuzul Quran, bagi saya itu belum cukup. Ada satu lagi peristiwa agung. Peristiwa itu; jangan sampai ia dilupakan.

Tanggal 17 Ramadhan 0002 Hijrah adalah titik tolak umat. Kalau pasukan Islam tak menang di Badar, masakan kita mengecapi nikmat syahadah hari ini. 17 Ramadhan 0002 adalah must win battle. Pusingan kalah mati. Untuk itu, Rasulullah SAW berdoa:

“Ya Allah, laksanakanlah apa yang Kau janjikan padaku. Ya Allah, jika kumpulan daripada umat Islam ini musnah, nescaya tidak ada siapa yang akan menyembah-Mu di bumi ini”

Doa ini bukan doa biasa. Ia pengharapan terakhir. Memohon dengan penuh perasaan. Bak kata orang Indonesia, “Ya Allah, aku memohon dengan sangat”. Ketika itu Rasulullah SAW berhadapan dengan bala tentera lengkap bersenjata yang tiga kali ganda jumlahnya dari bilangan tentera Islam. Seolah-olah pasti kalah dan hancur luluh. Namun Rasul tetap menggantung harapan.


Rasulullah SAW mengangkat tangan berdoa. Bersungguh-sungguh, hingga selendangnya terjatuh. Melihat keadaan itu, teman setia Abu Bakar RA mengambil selendang itu dan berkata, “Wahai Rasulullah, cukuplah. Sesungguhnya Allah pasti melaksanakan apa yang Dia janjikan padamu”.

Allah dengan segala keagungan-Nya mendengar rintihan Rasulullah SAW. Maka 1000 malaikat dihantar untuk menyertai perang Badar.


Demikianlah kuasa doa. Hakikatnya, kemahuan berdoa adalah nikmat yang amat besar dari Allah. Sesiapa yang diberi taufiq untuk berdoa bersungguh-sungguh, penuh khusyuk, rendah diri, esak tangisan dan  perasaan tergugah, dia akan merasai kemanisan yang tinggi. Kemanisan yang tak difahami oleh raja-raja yang sedang bermewah dengan kekayaan dunia. Jika raja-raja ini tahu darjat kemanisan ini, nescaya mereka memerangi orang-orang yang berdoa ini.

Di Mesir, doa qunut yang dibaca amat-amat canggih. Walaupun panjang, sang imam memohon segala macam perkara daripada Yang Maha Mendengar; dari isu kekuatan iman di hati hinggalah ke kemaslahatan tanah air dan pembebasan tanah terjajah. Ada di sesetengah masjid, qunut witirnya mencecah 1 jam. Kalau dibuat qunut ini di Malaysia, pasti jamaah mufaraqah solat imam.

Pokoknya, doa adalah ibadah yang amat-amat penting. Nabi Daud hanya berpada dengan doa apabila kehilangan anak kesayangan; Yusuf dan Bunyamin, “Hanya pada Allah aku adukan kesusahan dan kesedihanku” (Surah Yusuf, ayat 86).

Situasi kita hari ini tak jauh beza dengan pemandangan Badar itu. Syria dan Rohingya sedang melalui hari-hari sukarnya. Kesatlah air mata anak yatim itu dengan tadahan tanganmu. Gapailah tangan pelarian itu dengan rintihan sepertiga akhir malammu.


Menangislah dan mengadulah di depan Allah seperti anak kecil di hadapan ibunya. InsyaAllah, di situ ada harapan baru.

Moga doa kita ditepatkan dengan Lailatul Qadr.

2 comments:

Adri Ariff said...

UStaz...Mohon share :)

Adri Ariff said...
This comment has been removed by the author.