Sunday 26 October 2008

Menuju Kesempurnaan


Pada suatu hari, akibat tersilap menjangka masa, saya dan seorang rakan telah sampai lewat ke dewan kuliah di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Bukan lewat lima atau sepuluh minit, tapi 20 minit. Dengan muka selamba,; tanpa rasa segan dan tanpa rasa bersalah, melainkan hanya sebersit kami melangkah masuk ke dewan. Hal ini kerana ramai lagi pelajar yang lewat.

Sebelum itu, saya hanya terbayang bahawa sekiranya saya sampai lewat, saya hanya mengalami satu kerugian; terlepas sebahagian ilmu yang diajarkan doktor. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset apabila saya dan kawan saya terpaksa berdiri di bahagian belakang dewan sehingga kuliah tamat kira-kira sejam setengah kemudian.

Dengan nada tension, saya bermonolog sendirian,
"Dah la kena berdiri dalam bas hampir sejam, bila sampai dewan kuliah kena berdiri lagi sejam lebih. Berdiri membatu selama dua jam memang letih. Macam mana aku nak fokus pada lecture ni?!"

Panas. Rimas. Hilang mood. Hasilnya, kalam doktor yang bertubi-tubi hanya berlalu di tubir telinga sahaja, tidak memasuki organ pendengaran ini. Hari itu memang hari yang betul-betul memenatkan. Saya cukup menyesal dengan kelewatan itu. Begitulah Al-Azhar. Dewan kuliah yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu masa "dimaksimakan" penggunaannya sehingga ada yang duduk di jendela. Jika anda lambat datang, habislah anda.

Demikian kisah saya bersama rakan yang terjejas studynya akibat terlewat menunaikan janji seorang azhari. Datang awal ke kuliah memang ada kaitan dengan mood untuk belajar. Saya bawakan kisah ini bukan semata-mata mengisahkan keadaan bumi bertuah ini, tetapi ingin membandingkan situasi kita dalam mengerjakan ibadah utama kita iaitu solat menghadap Yang Maha Pencipta.

Solat: Kaitan Temu Janji dengan Khusyu

Setiap hari, seorang mukmin itu seolah-olah telah berjanji dengan Tuhannya sebanyak lima kali. Janji-janji temu ini telah disepakati sejak sekian lama, bukan secara short notice (hari ini maklum, esok temu janji) kerana terdapat taqwim solat yang telah mencatatkan waktu solat sepanjang tahun. Maka boleh kita katakan temu janji solat Zuhur pada 31 Disember 2008 telah kita maklumi sejak 1 Januari 2008, atau lebih awal daripada itu. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya kita terlambat menghadiri temu janji.

Di Mesir, taqwim solat tidak dinyatakan sebagai taqwim solat, tetapi dinyatakan sebagai "mauidus solah" (temu janji solat). Apabila perkara ini dihayati dengan betul, maka schedule harian kita tidak akan meminggirkan waktu solat kerana ia adalah berkaitan Tuhan yang menciptakan kita. Mungkin selepas ini Malaysia pun boleh tukar Taqwim Solat jadi Mauiduss Solah.

Pada pandangan saya, menepati waktu amat penting dalam mengejar khusyu dalam solat. Bayangkan seorang yang datang ke masjid 10 minit sebelum masuk waktu solat, kemudian dia berniat iktikaf dan membaca Al-Quran sementara menunggu masuknya waktu. Tatkala waktunya tiba, dia mengalun azan menyeru seluruh manusia tunduk sujud kepada Allah s.w.t. Tidak terhenti setakat itu, dia bangun mengerjakan solat sunat qabliyah sebelum mengalunkan iqamat. Dan kemuncaknya, dia menghadap Allah dengan keadaan yang cukup bersedia. Tidak hairanlah apabila orang sebegini mudah teresak-esak dalam solat mereka.

Situasi di atas amat berbeza dengan orang yang sedang menonton televisyen, kemudian datang kepadanya waktu solat. Orang sebegini tidak menunggu waktu solat dan boleh jadi dia terlepas Takbiratul Ula atau menjadi makmum masbuk. Atau mungkin sama sahaja seperti mana saya terlewat menghadiri kuliah, seluruh study saya pada pagi itu terjejas.

Memahami Isu Sebenar

Marilah kita bersama renungkan. Betapa ramai orang yang menunaikan solat, sedangkan dia sendiri tidak tahu mengapa dia mengerjakan solat. Hanya kerana orang lain solat, dia pun tergerak untuk solat. Dan dia terus berulang-ulang dalam keadaan demikian sehingga bertahun-tahun lamanya. Akhirnya, ketika syurga berada di kanannya dan neraka berada di kirinya, dia pun menjawab soalan pertama Allah dengan amalnya itu dalam keadaan sesal dan sedih yang tak sudah.

Bukankah kita ini hamba? Bukankah kita telah dengar semasa sekolah rendah dahulu bahawa solat itu tiang agama? Tidakkah kita terfikir, mengapa diri kita yang tidak pernah meninggalkan solat ini tidak maju-maju ke hadapan, malah semakin hari semakin ketinggalan di belakang dek musuh? Katanya ingin masuk syurga, tetapi dengan amal apakah kita ingin mengecapi nikmat di sana?

"Khusyu" dan "ikhlas" perlu terus menjadi agenda utama kita, kerana ia boleh menjadikan pahala dua orang yang solat bersebelahan berbeza bagai langit dan bumi, meskipun nama dan bilangan rakaat solat mereka itu sama. Isu kita bukan isu amal, tapi isu kita ialah isu penerimaan amal.

Akhir kata, bersama kita renungi kata-kata Imam di Masjid Syarbini (Seksyen 10, Cairo):
"Hadapilah Allah dengan hati, bukan dengan jasad yang tunduk dan sujud semata. Dan solatlah kamu seolah-olah ini yang terakhir"

Bantulah Hamba, ya Allah...

Friday 10 October 2008

Dua potong ayat di petang Ramadhan

Pada satu petang di bulan Ramadhan yang lalu, saya sempat bersembang dengan seorang ikhwah di bumi Mesir ini. Ikhwah itu memulakan bicara,

"Ana nak tanya sikit. Dalam banyak-banyak ayat Al-Quran, ayat yang mana paling memberi kesan kepada hati enta?"

Saya berfikir sejenak, kemudian menjawab, "Ana rasa hujung ayat 29 surah An-Nisa".

"Kenapa?", dia bertanya ringkas.

"Sebab semasa ana remaja muda dulu, ana pernah rasa sedih, takut dan hilang semangat. Kebetulan masa itu sedang menghafal ayat ini. Bila baca ayat tu, terus menangis"

"Oh, macam tu. Tadi ada pakcik Arab sembang dengan ana. Pakcik tu tanya ana soalan tu. Ana paling terkesan dengan ayat 38 surah At-Taubah. Bila ana rasa malas je, ana akan teringat ayat ni dan ana akan terus jadi bersemangat!", terang beliau yang kemudian membacakan ayat tersebut.

Sambung beliau, "Dan pakcik yang tanya ana tadi kata dia paling terkesan dengan ayat 104 surah Al-Kahfi".

Kemudian saya membuka Al-Quran untuk melihat ayat yang dinyatakan.

Subhanallah!

Allahumma inna nasaluka imanan kamila, wa nasaluka qalban khosyi'a...

Monday 6 October 2008

Muhammad Alfatih- Dedikasi khas buat Muhammad Hasan T2 :D

fatih

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.

_________________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican


Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

rantai yang digunakan rantai merentangi teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


Diambil dari satuperkongsian.wordpress.com

"Terima kasih ustaz!"