Thursday 24 July 2008

MEMPERCEPAT KEMATANGAN?


Tersebutlah alkisah, ada seorang budak yang amat cerdik. Sejak lahir, dia selalu menjadi ‘jam loceng’ untuk ibu bapanya bangun awal pagi mengerjakan solat fajar. Sekitar umur lima tahun, budak ini sudah pandai membaca Al-Quran dengan amat baik. Ibu bapanya hairan dan takjub bercampur gembira.

Ketika berumur 9 tahun, 30 juzuk sudah berada di dalam kepalanya. Dalam masa yang sama, dia rajin sekali menunaikan solat berjamaah di surau, menjadi bilal dan menyertai program-program tarbiyah suraunya.

Pencapaian akademiknya jauh meninggalkan kawan-kawan lain. Ketika budak sebayanya sibuk di padang merebut bola, otaknya ligat menelaah ilmu. Di penghujung usia 12 tahun, dia sudah petah berkata-kata dan selalu mengepalai kawan-kawannya dalam majlis tazkiyatun-nafs.

...

...

Apakah pandangan anda terhadap budak ini? Seakan apakah dia apabila dewasa nanti? Andaikata dia benar-benar wujud, pasti kita akan menjaganya sebaik mungkin. Dan pastinya ramai antara kita yang ingin memiliki adik sedemikian rupa. Atau mungkin juga anak suatu hari nanti.

Apakah mempercepat kematangan seseorang itu mustahil? Penulis pernah mengikuti program remaja bersama Prof Madya Dr Harlina Halizah binti Siraj, seorang pakar sakit puan yang ahli dalam soal perkembangan remaja. Beliau mengatakan bahawa mutakhir ini, usia remaja mencapai akhil baligh semakin awal. Hal ini kerana remaja sering terdedah kepada unsur-unsur seksualiti sebelum waktunya. Maklumlah, dengan hanya RM2, macam-macam boleh dilayari di internet. (Astaghfirullah, seakan apakah budak ini apabila dewasa nanti?)

Maka, terbukti secara biologi bahawa kematangan itu boleh dipercepat. Persoalannya, apakah kematangan pemikiran seseorang itu boleh dipercepat, sebagaimana kisah budak kecil di awal penulisan ini? Dan bagaimana caranya?

Hakikatnya, itulah apa yang diajarkan oleh Islam. Seboleh-bolehnya, pematangan seorang anak muslim itu perlu dilakukan seawal mungkin tanpa menzaliminya. Syariat mengajar kita agar memperdengar azan dan iqamah kepada bayi baru lahir. Tatkala menyedari ini, kita pun berkata, ”Haah, betul juga. Islam cuba memberi tarbiyah seawal mungkin”. Pada pandangan penulis, tarbiyah generasi baru itu bermula sejak si kecil itu belum lahir, kerana Rasulullah mengajar kita agar memilih pasangan hidup yang mempunyai agama (dzatud dien), agar berpotensi melahirkan generasi yang salih.

Contoh Dari Sejarah

Imam At-Thabari, mufassir yang masyhur: Pada usia 7 tahun, beliau khatam menghafal Al-Quran, menjadi imam setahun kemudian.

Ibnu Taimiyah: Mengeluarkan fatwa seawal usia 15 tahun.

Muhammad Al-Fatih: Menakluk Costantine pada usia 24 tahun.

Hassan Al-Banna: Menubuh Ikhwan Muslimun pada umur 22 tahun.

Kita perlu mematangkan mereka seawal mungkin bagi mengimbangi kematangan biologi mereka yang awal. Dengan demikian, insyaAllah mereka akan terpelihara dan terjaga, malah menyumbang kepada ummah. Sang pembebas Mesir, Amru bin Ash r.a berkahwin pada usia 12 tahun, manakala Ali bin Abi Talib berkahwin pada usia 16 tahun. Bukankah ini contoh yang amat baik? Subhanallah!

Sebagai seorang belia, kita juga harus mengambil pengajaran. Wajarkah kita disibukkan dengan Kreko, Starcraft dan Counter Strike? Tatkala pemuda Palestin sibuk mempersiap jiwa raga menuju syahid, kita masih boleh mengatakan ”saya tak tahulah hari ni nak buat apa”.

Bersama kita bayangkan.

Remaja-pemuda muslim di satu kawasan perumahan ini amat salih. Mereka bersungguh-sungguh bertaqwa kepada Allah. Sejak jam 4 pagi, sejadah mereka sudah dibasahi tangisan tanda takutkan azab Tuhan dan dambakan rahmat. Mereka melaung azan ketika fajar menyinsing. Ketika di sekolah/IPT, mereka berprestasi cemerlang samada akademik mahupun ko-kurikulum. Saling memperbaiki, mahabbah fillah dan pergaulan bebas sifar menjadi identiti.

Mereka amat menghormati orang tua. Masyarakat berasa amat senang dengan mereka. Kalau ada keraian, merekalah tulang belakangnya. Dalam masa yang sama, mereka komited dengan program tarbiyah. Bagi mereka, risalah dakwah ini wajib disebarkan agar mereka berlepas diri pada hari akhirat nanti.

Demikianlah keadaan mereka.

Rasulullah s.a.w bersabda:

”Sesungguhnya Allah takjub dengan pemuda yang tidak mempunyai sifat keanak-anakan”

Kesimpulan

Alangkah indahnya Islam yang kita anuti selama ini. Andaikata generasi salih ini dapat kita lahirkan semula, samada pada generasi selepas kita atau diri kita sendiri, itu tandanya kemenangan sudah hampir. Sejarah menunjukkan bahawa ’si cilik yang berprestasi cemerlang’ ini akan membawa banyak manfaat kepada ummah dewasa kelak. Ya, masa depan sesuatu bangsa bergantung kepada usaha pembinaan generasi bangsa itu. Itulah kuasa pemuda. Itulah apa yang diharapkan atas pemuda hari ini. Dunia kini ternanti-nanti...

Hm... Baru penulis faham perkataan Al-Banna, “Oleh kerana itu, sejak dulu hingga sekarang pemuda merupakan tiang kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, pemuda ialah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panji-panjinya”.

Tulisan ini untukku. Ya Allah, bantulah aku...