Monday 22 December 2008

Ukhuwwah: Jangan Main-Main Ya!


Muqaddimah
Ukhuwwah? Dah banyak kali kita berbincang mengenainya. Boleh jadi telinga ini sudah lali dengan perkataan ithar, husnu zhon, lima hak ukhuwwah dan tak lupa ayat surah Al-Hujurat yang berbunyi "innamal mu’minuna ikhwah". Kalau diminta memberi tazkirah mengenai tajuk ini, nescaya kita tidak memerlukan waktu untuk persediaan. Wah, hebatnya!

Ya, betul kita hebat. Namun, hebat dengan syarat, iaitu segala apa yang tertancap di minda mengenai isu kekuatan umat Islam ini benar-benar dihayati dan diterjemah ke alam realiti oleh batang tubuh kita.

Rata-ratanya kita mempunyai sahabat dan teman. Sudah bertahun-tahun kita berukhuwwah, namun mengapa dalam sesetengah kes, perhubungan itu boleh dikatakan hambar, tidak hidup, kering dan biasa aje? Saya mengajak anda berfikir dan bermuhasabah mengenai hal ini. Berikan fokus yang secukupnya, ikhlaskan niat dan bersihkan hati; semoga kita mendapat sesuatu daripada coretan ini.

Tersebutlah sebuah kisah...
Pada suatu malam musim sejuk, kelihatan seorang pelajar di perlembangan Nil sedang menelaah kitab turath (kitab lama). Disebabkan tulisan kitab yang kurang jelas, ditambah lagi dengan gaya bahasa yang mungkin sudah tidak wujud pada zaman ini, pelajar itu merangkak dalam pembacaannya. Lambat betul. Maka dia naik runsing. Rasa bosan mula menyelubungi. Mahu saja dia meninggalkan meja studynya.

Di tengah-tengah kekalutan itu, datang seorang ahli bait meminjamkannya kamus berwibawa terbaru, terkenal di sisi Azhari, iaitu Kamus Al-Miftah. Berpandukan kamus itu, pelajar tadi mula memahami walaupun tidak semua. Rasa bosannya mula hilang dan mood studynya kembali menyala. Akhirnya dia mendapat banyak manfaat daripada penelaahannya pada malam itu.
*****

Bagi saya, kisah di atas cukup signifikan dengan ukhuwwah dan hak-hak ukhuwwah. Apakah hak-hak itu? Lima hak yang disebut dalam hadis memang tidak cukup kerana ia adalah hak-hak umum. Di sini kita sedang cuba membicarakan hak-hak yang khusus.

Suami dan Isteri
Apa kata kita cuba menganggap teman kita itu sebagai isteri atau suami tercinta?
Biasanya, kalau kita belum bangun dari tidur sedangkan azan subuh sedang berkumandang, ahli bait kita akan ketuk pintu bilik guna hanger. “Bangun! Bangun! Dah Subuh!”, katanya. Namun, seorang suami tidak begitu. Dia akan duduk di samping isterinya dan membangunkannya dengan baik. Tak lupa untuk memberi semangat bahawa solat di awal waktu itu amat besar pahalanya.

Dalam perjalanan ke kuliah, kita menaiki bas bersama kawan-kawan kita. Ketika ammu ugrah (konduktor bas) datang, kita bayar tiket masing-masing. Namun, situasi ini jadi pelik jika berlaku kepada suami isteri. Tak pernah saya jumpa keadaan suami bayar tiket suami, isteri bayar tiket isteri. Apa yang ada ialah salah seorang saja yang bayar.

Begitu jugalah ketika kita membawa balik jajan (biskut, coklat, etc) ke rumah sewa. Jajan terus disimpan di dalam almari. Macam tak nak kongsi dengan orang lain. Namun, si suami tidak pernah begitu. Dia akan simpan di dapur. Kalau si isteri nak ambil, ambillah.

“Berikanlah haknya...”
Demikian tiga situasi mudah yang sering berlaku di alam kampus. Hak-hak yang halus inilah yang kita perlukan sebagai agen penyubur ukhuwwah, sebagaimana pelajar dalam kisah di atas memerlukan Kamus Al-Miftah sebagai booster.

Berukhuwwah tanpa menunaikan hak-haknya memang membosankan. Tiada keraguan padanya. Namanya kawan, tetapi tak serupa kawan. Katanya teman, tetapi lesap ketika kesusahan. Maka rawatannya mudah (mudah disebut, seronok dipraktik), iaitu berikanlah hak-hak ukhuwwah kepada teman-teman anda.

Cubalah sedaya-upaya mencari ruang untuk memberikan hak ukhuwwah kepada teman kita. Ketika kita tahu saja dia sakit, berlumba-lumbalah mencarikan ubat untuknya. Paling kurang pun kita membelikannya sarapan pagi sebelum kita keluar menghadiri kuliah. Apalah sangat sebungkus nasi lemak dan bancuhan secawan teh? Tak susah kan?

Apabila kita mendapati malam sudah lewat, sedangkan teman kita belum pulang ke rumah, maka usahakanlah untuk menghubunginya; ambil tahu keadaannya dan bertanya samada dia pulang atau tidak malam itu. Mudah saja. Kerja ini tidak sampai lima minit pun!



Bagi kaum lelaki, mungkin mereka kurang gemar memberi hadiah sesama mereka. Namun hadis Ar-Rasul merakamkan bahawa saling memberi hadiah itu membawa kepada kasih sayang. Sebuah buku nota berharga LE5 sempena hari lahirnya sudah memadai. Seboleh-bolehnya, kita cuba ambil tahu barang apa yang paling dia perlukan pada saat itu dan kita cuba untuk menghadiahkannya. Pada ketika itu, kita akan dapati LE5 kita boleh membawa kesan yang amat besar yang kekal berpanjangan. Kita akan berasa seronok dalam berukhuwwah, sebagaimana pelajar di atas berasa seronok belajar dengan menggunakan kamus Al-Miftahnya.

Matlamat Jangka Panjang
Seorang daie perlu belajar bersungguh-sungguh bagaimana dia dapat berkasih sayang dengan ikhwahnya. Tanpanya, seseorang itu tidak mampu masuk ke medan dakwah, kerana medan ini amat memerlukan kasih sayang terhadap mad’u dan rakan seperjuangan. Kerana sayangkan umatlah harta benda kita dibelanjakan. Kerana sayangkan umatlah masa dan jiwa kita taruhkan. Tidak terdetik sedikitpun di hati untuk mendapat kembali apa yang telah diberi, malah bergembira dengan pengorbanan tersebut, melebihi gembira orang yang menerima pengorbanan itu.

Kita amat takut kepada kekeringan dan kedinginan hubungan sesama kita di jalan dakwah ini. Sebab, bila fenomena ini telah tersebar luas, maka gerakan Islam akan hilang karakteristiknya yang paling utama, bahkan kehilangan intipati namanya! Bukankah kekuatan ukhuwwah itu kekuatan yang paling utama selepas kekuatan aqidah?

Kesimpulan
Cukuplah setakat ini. Kalau coret panjang pun tapi tak amal, apa gunanya. Dan untuk itulah post ini ditulis. Akhir kata, selamat melayani suami/isteri anda! :D