Thursday 30 August 2012

Siapa Usaha, Dia Dapat

Akbar (tengah).

PENDAHULUAN

Semalam (29 Ogos 2012) adalah tarikh yang cukup istimewa. Keputusan exam yang diumumkan  mengajar aku satu makna yang cukup besar, hingga menggerakkan aku mencoretnya di blog supaya jadi bekalan adik-adik baru Universiti Al-Azhar.

… … …

KISAH AJAIB

Muhammad Akbar bukanlah seorang yang berbakat besar dalam dunia ilmu agama. Dia mahasiswa biasa-biasa saja. Sekali pandang, memang tak ada gaya ustaz.  Tapi dia nekad ke Mesir bagi mencari dunia dakwah dan tarbiyah.

Aku yang jadi roomatenya pun tahu betapa dia perlu memerah otaknya untuk membaca kitab Al-Azhar. Kalau rakan sekelasnya mengambil masa 20 minit untuk habiskan satu topik, dia perlukan 40 minit.

Semasa aku di UIAM dulu, dia pernah chat dengan aku. Akbar tulis, “Ana sbnrnye dlm dilemma skrg.sama ada nk balik mesia atau terus duk sini.ana rs ana tk leh nk proceed ngan azhar nye sistem dn bhs arab ana mmg dn sgt2 lemah. Sbb tu ana tnye beza dia apa sbb ana nk wat perbandibgan.apa pendapat nta?”.

Benar, ketika tahun satu, bahasa Arabnya agak lemah. Masalah bahasa sering jadi punca mahasiswa baru rasa patah hati dan tension memanjang.

Tapi itu Akbar ketika first year. Dari situ, dia nekad menyambung terus di Al-Azhar dan cuba atasi rintangan satu persatu. Setiap kali musim study leave, Akbar akan pulun habis-habisan. Aku jadi saksi bagaimana dia bimbangkan kegagalan, bagaimana dia berperang dengan kantuk dan bagaimana dia meninggalkan FB selama sebulan setengah.

Dia akan baca suatu buku hingga habis. Kemudian, dia mula hafal satu persatu. Kalau ada 20 topik dalam satu buku, 20 topiklah yang dia akan hafal; tak tinggal satu pun. Lepas hafal, dia akan ulang beberapa round supaya melekat di kepala sekuat lekatan gam gajah.

Aku pernah tanya dia satu soalan daripada topik yang dia hafal. Jawapannya tepat seperti yang tertulis dalam buku. Kemudian aku tanya, “Enta faham tak?”. Dia jawab, “Tak”. Dan memang betul, dia salah faham apa yang dihafalnya, lalu aku membetulkan. Tapi taklah semuanya salah. Sikit saja yang salah, yang lain semuanya betul.

Bagi aku, salah faham terhadap apa yang dihafal tidaklah memalukan. Dahulu, semasa aku Tingkatan Dua, aku tamat menghafal Al-Quran tanpa faham juga. Kefahaman tu akan datang kemudian dengan syarat kita mencarinya.

Sejak daripada itu, aku dah terbayang yang Akbar akan melakar sesuatu tahun ni. Sebab tu aku sanggup ikut dia pergi tengok result exam walaupun aku ada kerja lain. Aku naik teksi dengan dia dan jadi cameraman sepanjang hari tu.

Sejurus melihat keputusan Jayid Jiddan itu, muka dia jadi ceria bukan main. Terserlah kemanisan kejayaan yang dikecapi hasil bantingan tulang dua bulan lalu. Tapi dia kawal raut wajah. Mungkin kerana nak jaga hati teman lain yang mendapat keputusan yang tak berapa baik.

Predikat Jayid Jiddan adalah impian kebanyakan ustaz Malaysia di Mesir. Jika ditanya, “kenapa tak target Mumtaz?”, jawapannya ialah aku tak pernah dengar lagi anak Malaysia dan Indonesia dapat Mumtaz dalam kuliah Syariah Islamiyah Al-Azhar. Dari dulu hingga sekarang. Seakan ia sesuatu yang mustahil. Entah kenapa, aku pun tak tahu. Biasanya, yang dapat Mumtaz ni orang Mesir saja.

Ajaib bukan? Seorang yang pernah hampir putus asa di Al-Azhar meraih Jayid Jiddan. Memang ajaib dan ajaib sangat. Tapi tak bertentangan dengan sunnatullah; bila ada sebab, maka ada musabbab. 

Tanyalah pada sesiapa, tak ada orang pernah menaruh harapan Jayid Jiddan pada Akbar. Sejujurnya aku juga tak pernah. Aku hanya pernah melintaskan dalan fikiran aku dua-tiga kali saja. Kalau ada orang tak percaya result gempak Akbar ini, aku tak pelik.

Di kala kegembiraan memenuhi setiap inci tubuh Akbar, aku suruh dia sujud syukur.

… … …


MAN JADDA WAJADA

Aku percaya, ‘result emas’ Akbar membuka mata banyak pihak. Aku sendiri rasa kalah dengannya. Kalau Syed Ahmad Israa (peraih Anugerah Utama STAM 2007) dapat Jayid Jiddan, aku tak hairan.

Sebenarnya, yang lebih mengesankan bukan resultnya, tapi usaha gigihnya. Bagi aku, dia dah lulus exam sebelum dia masuk dewan peperiksaan lagi. Perahan keringatnya saja sudah jadi bukti bahawa dia akan berjaya.

Cuma aku nak hurai beberapa point;

1. Semua orang boleh dapat Jayid Jiddan. Syaratnya dua saja. Pertama; kerja keras yang berterusan. Untuk capai syarat ni, seseorang itu perlu korbankan banyak kepentingan peribadi. Kalau ada kerja keras, parang tumpul pun boleh patahkan dahan keras (rujuk: Filem Negeri 5 Menara).

2. Syarat kedua ialah tawakkal tertinggi kepada Allah. Sepanjang musim imtihan, Akbar dilihat memanjangkan sujud terakhirnya dan banyak berdoa selepas solat. Begitu juga selepas imtihan dan sewaktu Ramadhan. Barangsiapa yang menggantungkan harapannya pada Allah, dia tak akan kecewa.


PENUTUP

Kisah ini adalah salah satu bukaan (futuhat) Allah ke atas aku. Aku harap pengorbanan mulia ini dapat membakar semangat seluruh mahasiswa Malaysia hingga berdekad-dekad. Aku doakan Muhammad Akbar terus sukses; dan moga-moga aku terus mendapat tempiasnya.



Akbar baru selesai tengok result.


 Akbar minta aku semak hafazan. Minggu depan nak exam.


Rahsia kejayaan: Menghafal bawah lihaf (selimut tebal) sambil tutup mata.