Friday 14 March 2008

As-Siddiq vs Al-Faruq

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat subuh bersama para sahabat. Sebaik sahaja selesai, baginda melihat ke arah mereka. Seperti biasa, baginda memeriksa dan memuhasabah keadaan iman para sahabat.

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada mereka,

“Siapakah dalam kalangan antum yang berpuasa pada pagi hari ini?”

Mereka semua diam.
Umar Al-Khattab berkata, “Wahai Rasulullah, ana belum berniat puasa sejak malam tadi”.

Namun Abu Bakar berkata, “Pagi ini ana telah berpuasa”.

Kemudian Nabi SAW bertanya lagi,

“Siapakah dalam kalangan antum telah menziarahi orang sakit pada hari ini?”

Umar Al-Khattab, “Wahai Rasullullah, kami keluar dari rumah untuk mengerjakan solat. Bagaimana kami sempat menziarahi orang sakit?”.

Namun Abu Bakar berkata, “Ana wahai Rasulullah. Tadi ana keluar rumah menuju masjid dan ana tahu kelmarin, Abdul Rahman bin Auf ditimpa sakit. Maka ana arahkan jalan ana menuju ke masjid agar melalui jalan rumahnya. Ana tahu dia akan bangun mengerjakan solat subuh, maka ana menziarahinya. Kemudian baru ana pergi ke masjid untuk solat subuh”

Nabi bertanya lagi,

“Siapakah dalam kalngan antum yang telah bersedeqah pada hari ini?”

Umar Al-Khattab berkata, “Wahai Rasulullah, kami belum meninggalkan tempat solat kami. Bagaimana kami dapat bersedeqah kepada orang fakir?”

Namun Abu Bakar berkata, “Ana wahai Rasulullah. Ketika memasuki masjid, ana ternampak seorang fakir di dalam masjid. Ketika itu cucu ana membawa sebuku roti. Maka ana meminta roti itu dan memberikannya kepada fakir tadi”.

Lalu Nabi SAW bersabda, “Wahai Abu Bakar, ana memberi enta khabar gembira bahawa enta akan masuk syurga. Tidaklah amal-amal tadi terhimpun pada seseorang, kecuali dia mendapat khabar gembira akan masuk syurga”.

Umar Al-Khattab menghela nafas panjang dan berkata, “Wahai Abu Bakar, ana tidak dapat mendahului enta dalam sesuatu pun selama-lamanya”.
(Petikan dari Jejak Para Khalifah- karangan Amru Khalid)

Demikian apa yang terjadi kepada dua orang sahabat yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW.

Ijlis Bina Nu’min Saah
Jelas bagi kita bahawa Nabi SAW melakukan “muttabaah amal fardi” bagi memastikan iman sahabatnya sentiasa dalam keadaan optimum. Seharusnya kita juga begitu. Mungkin waktu yang sesuai ialah selepas solat atau selepas riadhah atau lain-lain. itulah intipati surah Al-Asr.

Konsep Riya’
Sebagai seorang guru, ana selalu dapati pelajar-pelajar kita agak malu dan segan silu dalam menjawab pertanyaan guru. Contohnya, guru bertanya, “Siapa nak jawab soalan muallim di papan putih?”. “Entalah yang jawab. Ana tahu tapi malaslah!” dan “Ana tak mahu mencapub” adalah senario yang biasa. Bagi ana, inilah sikap orang Melayu yang kurang baik. Malu tidak bertempat.

Abu Bakar dengan berani menjawab pertanyaan Nabi SAW. Isu cari publisiti dan riya tidak timbul di sini. Sebenarnya perkara ini banyak bergantung kepada niat kita. Andaikata kita berniat mencapub, maka ia adalah mencapub di sisi Allah SWT. Andaikata kita berniat qudwah hasanah, maka ia adalah qudwah hasanah di sisi Allah SWT.

Ana pernah menumpang belajar di SMKA Maahad Hamidiah, Kajang selama seminggu. Ana ditempatkan di kelas pertama (paling top dalam tingkatan). Senarionya cukup berbeza. Apabila guru berkata, “Siapa yang ingin jawab?”, para pelajar berebut-rebut angkat tangan. Maka tidak hairanlah prestasi akademik mereka “antara terbaik Malaysia” saban tahun.

Ya, mengapa ingin malu sedangkan ia perkara kebaikan?

Fudhail bin Iyadh berkata, “Barangsiapa yang tidak beramal kerana manusia, maka itulah riya”. –petikan dari buku Adab Usrah Ikhwan Muslimun. Sedarlah, syaitan sentiasa mencari ruang untuk menghalang kita berbuat baik.

Berlumba-lumba
Dalam perlawanan ini, Abu Bakar dilihat mengalahkan Umar dengan jaringan tiga gol tanpa balas. Di sini, ana bukanlah ingin membezakan sahabat mana yang paling baik kerana setiap sahabat itu ada kelebihan masing-masing.

Namun, ana mengetengahkan bahawa mereka saling berlumba dalam perkara kebaikan. Ada yang kalah dan ada yang menang. Hal ini memang dianjurkan oleh agama, dengan syarat si pemenang tidak merasa bangga dengan kemenangannya dan si kalah merasa insaf di sisiAllah SWT. Inilah keunikan Islam!

Semasa membaca kisah ini, ana teringat kepada ayat Al-Quran surah Al-Mutaffifin yang berbunyi, “Wa fi zalika falyatanafasil mutanafisun” –ayat 26. Maksudnya “maka berlumbalah orang-orang yang berlumba”.

Justeru, mari kita bersama contohi sikap generasi Al-Quran yang unggul ini, semoga kita juga mendapat gelaran “Radiallahu anhum Ajmain”. InsyaAllah!