Wednesday 15 June 2011

Tadabbur Gerhana





Bismillah.


Malam ini Kaherah menyaksikan gerhana bulan penuh. Awalnya aku berbelah-bagi untuk pergi solat gerhana secara berjemaah di masjid, sebab aku tahu solatnya panjang. Takut tak habis baca buku untuk imtihan. Namun, aku pergi juga...

Imam muda itu baca seluruh surah Hud dengan kelajuan sedang. Cukup 4 rukuk dan 4 sujud, 2 salam menjadi penamat.


Usai solat, imam menjelaskan, kenapa surah Hud?


Hal ini kerana surah Hud merakam peristiwa berikut untuk tatapan seluruh manusia:

a) Kaum Nuh yang dibinasakan oleh banjir besar

b) Kaum Aad yang dibinasakan oleh kemarau dan angin kencang

c) Kaum Samud yang dihancurkan oleh suara yang kuat

d) Kaum Luth yang diterbalikkan dan dihujani batu panas

e) Kaum Madyan yang dilanda gempa bumi dan suara kuat
f) Firaun yang ditenggelamkan


Banjir, angin, petir gempa bumi dan laut adalah tentera Allah. Sesiapa yang memusuhi Allah, tak mustahil dia akan berhadapan dengan tentera-tentera ini.


Menariknya, tentera-tentera ini terdiri daripada fenomena-fenomena zahir. Boleh nampak dengan jelas. Macam tsunami yang dirakam teknologi canggih Jepun. Macam gempa bumi Christchurch. Macam taufan di US.


Begitu jugalah gerhana ini. Ia juga zahir, hingga mengingatkan kita pada tentera-tentera yang pernah 'mengerjakan' umat dahulu yang ingkar.


Maka kita harus meletakkan perasaan kita dalam mode ngeri, cuak, takut dan gelisah. Bila-bila saja tentera ini boleh datang, biiznillah.


Mari kita tunduk, patuh dan memohon ampun. "Wasjud waqtarib".

Saturday 4 June 2011

Imam dengan Dua Sikap

Masjid yang paling dekat dengan rumahku ialah Masjid Iman. Nama lamanya ialah “Limousine”, sebab di sebelahnya ada garaj besar untuk teksi-teksi. Setiap kali waktu solat, aku dan jiran-jiran akan bertemu di sana. Betapa indah saat itu. Namun, ada yang lebih indah, iaitu imam masjid ini.

Imam tua ini aku panggil Syeikh Sayyid. Rambutnya putih, kaca matanya besar. Amat dihormati oleh penduduk setempat, baik tua mahupun muda.

Ada dua sikap beliau yang aku suka. Pertama, sikap tegas (firm)nya. Beliau pernah tegur orang yang sedang solat sunat ketika iqamat sudah dilaungkan dengan berkata, “Kenapa kau solat sunat sedangkan fardu lebih besar dari sunat!”.

Suatu Jumaat, ketika beliau sedang berkhutbah, ada handphone berbunyi. Biasalah, ringtone orang Arab memang kuat. Beliau yang berada di atas mimbar itu berkata, “Iqfilil mahmul ya akhi! Ehna fil Eid!” atau maksudnya “Matikanlah handphone tu, saudara! Kita sedang berhari raya!”.

Sikap yang kedua ialah kehangatan kasih dan sayangnya. Syeikh Sayyid pantang jumpa budak kecil, pasti didakapnya, dicium dahinya dan berbual-bual dengannya.

Setiap kali lepas solat, jiran-jiran yang separuh baya lebih muda akan bersalaman dan berbual ringkas dengannya. Beliau melayan dengan senang hati. Tambahan, Syeikh Sayyid pandai buat lawak. Jadi, perbualan di antara mereka kelihatan mesra.

Kalaulah orang di Malaysia tahu kehangatan rasa belas dan kasih syeikh ini, pasti mereka merasakan mereka belum pernah menyayangi ahli keluarga mereka.

Man la yarham, la yurham”.

Dua sikap di atas ini nampak macam paradoxical, tapi bagi aku tidak. Ia adalah gabungan terbaik karakter seorang manusia. Bagi akulah. Aku harap aku dapat ber’talaqqi’ dua sikap ini dengan beliau.

Betapa besar nikmat mendapat imam yang menyenangkan. Moga bumi Tarbiyah ini dapat melahirkan jutaan orang sebegini.

Wallahu a’lam.