Wednesday 7 March 2012

Senjata Terampuh Selepas Iman

Bismillah~

(Caption: Hubungan sesama teman banyak dibina ketika makan bersama)

Bismillah~

Seperti biasa, cuti semester di Mesir akan dipenuhi dengan pelbagai program tarbawi. Tapi cuti semester Febuari 2012 ni lain sikit. Ada sesuatu yang luar biasa.

Ramai sahabat dari seluruh pelusuk Mesir berkunjung ke Kaherah 2-3 hari untuk program tarbawi. Maka teman-teman di Kaherah pun bersiap menyambut mereka. Malam itu, saya penat sangat, hingga terlelap awal dan tak sempat melayani 3-4 orang tetamu yang menginap di rumah kami.

Esok paginya, ketika saya ingin keluar rumah untuk solat Subuh, saya terhenti seketika apabila melihat satu susuk tubuh berbalut selimut nipis berbaring di sofa. Kasihannya, tubuh dia kesejukan. Saya kejut dia dan ajak dia pergi masjid.


(Caption: Priceless moment. Terus snap!)

Rupanya, dia memberikan selimut tebalnya kepada tetamu sebagai memuliakan mereka. Perbaringannya juga dipinjamkan kepada tetamu, hingga dia tidur atas sofa dengan selimut nipis milik syarikat penerbangan Turki.

Orang ini memang nekad. Dah tak fikir kesihatan. Bukankah kesejukan malam boleh menjadikan kita sakit? Macam manapun, mesti pakai selimut tebal!

Tapi, iman di hati kecilnya-lah yang bersuara, “Tak apa, sejuk satu malam je. Yang penting tetamu kita selesa. Yang penting Allah suka”.

Itulah. Betapa manisnya ukhuwwah bila diterjemah dalam bentuk amal. Barakallahu fik ya akhi. Moga ithar yang anda tunjukkan menembusi tujuh lapis langit, sampai kepada Allah SWT.

Ingatkan dia berhenti setakat selimut tebal saja. Tak. Balik saja dari masjid, dia terus sinsing lengan dan bekerja di dapur. Potong itu, goreng ini. Tumis itu, tus ini. Selepas sejam suku, dia keluar dengan dua talam mee goreng panas sederhana pedas. Kami pun sarapan sama-sama, termasuk tetamu. Semua gembira pagi tu. Alhamdulillah.

Sedangkan, hari itu bukan gilirannya memasak. Patutnya orang lain. Dan dia tak merungut langsung. Hati saya berbisik, “Ada lagi orang macam ni kat dunia ni..?”.

Barakallahu fik, ya akhi. Anda mengajar saya banyak perkara walaupun tanpa suara. ^_^

...

...

...

Demikianlah ukhuwwah. Sepanjang pengalaman saya, ukhuwwah yang kita sebut-sebut ni melibatkan kemahiran interpersonal, komunikasi, akhlak, pengorbanan, ilmu psikologi dan lelain. Mereka yang menguasai aspek-aspek ini mampu melakukan kerja besar.

Kalau isu ukhuwwah tak selesai, sesebuah organisasi (tanzim) tu tak akan pergi jauh, walaupun ia dipenuhi dengan pelbagai tenaga pakar, tokoh, dana yang besar dan peluang yang banyak.

Oleh yang demikian, Islam cuba sedaya-upaya menjaganya. Contohnya, Islam mengaitkan ukhuwwah dengan iman apabila Ar-Rasul SAW bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hinggalah dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri” (riwayat Bukhari dan Muslim, hadis ke-13 dari Arbain Nawawiyah).

Ini soal kesempurnaan iman. Berat ni. Penting. Tak boleh pandang sebelah mata.

Sekarang mari kita lihat kesan ukhuwwah dalam pelbagai peringkat.

Sebagai individu, kita akan merasa betapa keringnya sebuah persahabatan yang didasarkan atas asas yang tak jelas. Bayangkan, ada dua orang yang amat rapat. Sentiasa bersama walaupun dalam keadaan susah. Hingga orang kata ukhuwwah mereka macam ‘ukhuwwah tentera’. Mereka boleh menagis sekali dan saling bercerita hal peribadi. Tapi bila ditanya, “Apakah asas hubungan anda ni?”. Mereka pun tak tahu jawapannya.




Inilah beza ukhuwwah islamiyah dan persahabatan kepunyaan Non-Muslim. Kadang-kadang, kita dapati persahabatan antara dua non-muslim tu lebih akrab berbanding persahabatan dua orang muslim, tapi sebenarnya non-muslim itu pun tak faham apa yang sedang dia buat. Bak kata Ustaz Rushdan (YDP ISMA Pahang), “Nampak hebat, tapi sebenarnya tak kuat”.

So, mari kita lihat balik semua persahabatan kita selama ini. Adakah atas dasar iman? Kalau iman, ia adalah ukhuwwah. Kalau bukan, ia mungkin hanya sebuah persahabatan atau perkenalan.

Di peringkat keluarga pula, betapa siksanya hidup dalam satu keluarga yang tidak berukhuwwah. Setiap hari kita tengok muka ibu bapa kita dan adik-beradik kita, tapi tak pernah rapat, sedangkan impresi awal masyarakat terhadap sesebuah keluarga ialah ahlinya saling menyayangi dan memahami. Itulah, sampai bila kita nak tipu masyarakat? Sepatutnya, hubungan dua orang muslim yang dikuatkan dengan ikatan kekeluargaan itu lebih kukuh berbanding hubungan dua orang muslim tanpa ikatan kekeluargaan. Allah berfirman, “Dan orang yang mempunyai hubungan kerabat itu lebih berhak sesama mereka (berbanding yang tiada hubungan kerabat), menurut kitab Allah” (Al-Anfaal, ayat terakhir).


(Caption: Gambar saya dan adik bongsu saya di kampung Johor, Aidilfitri 2010)


Dalam aspek harakah dan dakwah, sesebuah organisasi itu tak akan dapat mengesani masyarakat, melainkan mereka telah sayang-menyayangi antara mereka. Hal ini kerana, masyarakat mudah terkesan dengan teladan cinta dan kasih sayang. Padanya ada nilai sentimental dan lambang perpaduan.

Sampai sini saja. Akhir sekali, ada satu perkara yang saya ingin ingatkan. Bertuturlah dengan lembut dan sopan apabila berbicara dengan rakan baik anda. Hal ini kerana, seolah ada kecenderungan, semakin rapat hubungan itu, semakin jauh mereka dari adab islami. Bukankah Allah mengajar kita agar bersikap azillatin alal mukminin (Surah Al-Maidah, ayat 54)?

Moga kita terus istiqamah mengusahakan ukhuwwah dalam hidup ini. Setiap orang mesti cuba sedaya-upaya mengusahakannya, kerana ia kekuatan terampuh selepas kekuatan iman. Selepas ukhuwwah, barulah kekuatan persenjataan dan material.

Wallahu a’lam. Jazakumullahu kheir.